Saturday, June 30, 2012

MY PERFECT LOVER :)


Muhammad diutuskan Allah ke dunia,
Penutup para nabi dan rasul,
Memberi rahmat keseluruh alam,
Bawa cahaya kebenaran.

Pemuda ummi disenangi semua,
Lahir dari keturunan mulia,
Sifat sempurna akhlak terjaga,
Anak yatim digelar Al - Amin.

Mukjizat Al - Quran yang agung,
Bawa ajaran dan sunnahnya,
Membela nasib anak - anak yatim,
Mengangkat darjat kaum wanita.

Muhammad Rasullullah,
Muhammad Khatimul Anbia’.

Menghapuskan kasta dan perhambaan,
Menghormati semua tua dan muda,
Memberi syafaat di akhirat sana,
Kasihkan umatnya.

Dia ikutan seorang pahlawan,
Dia panduan ketua keluarga,
Dialah contoh pemuda mulia,
Dialah Khatimul Anbia’.



Lirik lagu Raihan : UTUSAN TERAKHIR

aku terharu dengan lagu ni.. Audio xde, korang boleh la try carik sendiri kat youtube.. tak rugi punye.. huhu..

Tuesday, June 26, 2012

SUSUNAN MAKMUM DALAM SOLAT BERJEMAAH



1. Apabila jemaah itu terdiri daripada seorang makmum.

Apabila dalam solat jemaah yang akan dilakukan itu hanya terdiri daripada seorang imam dan seorang makmum, maka disunatkan makmum berdiri di sebelah kanan imam dan agak terkebelakang sedikit.


2. Apabila jemaah itu terdiri daripada dua orang makmum.

Apabila dalam solat berjemaah yang dilakukan itu terdiri daripada seorang imam dan dua orang makmum, maka disunatkan makmum berdiri disebelah kiri imam. Setelah itu hendaklah imam ke hadapan dan kedua orang makmum merapatkan semula saf.

Namun sekiranya keadaan tidak mengizinkan makmum yang kedua bolehlah berdiri di belakang imam kemudian yang pertama mundur kebelakang untuk menyamai saf.


3. Apabila jemaah terdiri daripada seorang imam, makmum kanak-kanak lelaki.

Apabila kanak-kanak yang belum baligh bersembahyang dengan imam sedangkan kanak-kanak itu seorang diri sahaja, maka samalah ia seperti orang dewasa.


4. Apabila jemaah itu terdiri daripada seorang imam, makmum lelaki dan makmum wanita.

Apabila dalam solat berjemaah yang dilakukan itu terdiri daripada seorang imam, seorang makmum lelaki dan seorang makmum wanita, maka makmum wanita itu hendaklah berdiri dibelakang sebelah kiri saf lelaki.


5. Apabila jemaah terdiri daripada lelaki dewasa dan kanak-kanak.

Apabila makmum terdiri dari lelaki dewasa dan melebihi satu, maka di saf pertama hendaklah orang yang pandai-pandai, dan yang di saf kedua ialah orang yang kurang pandai. Manakala kanak-kanak hendaklah berdiri di belakang mereka.

Namun jika kanak-kanak itu terdiri daripada lelaki dan perempuan, maka kanak-kanak perempuan hendaklah berdiri di belakang saf kanak-kanak lelaki


6. Apabila jemaah terdiri daripada lelaki dewasa, kanak-kanak, dan khunsa.

Apabila didalam jemaah itu terdapat golongan khunsa mushkil maka hendaklah mereka berdiri di belakang saf kanak-kanak lelaki atau dihadapan saf kanak-kanak perempuan.


7. Apabila jemaah terdiri daripada semua peringkat dan golongan.

Apabila makmum terdiri daripada semua peringkat dan golongan, maka kaum lelaki hendaklah berada di saf yang paling depan, kemudian kanak-kanak lelaki, kemudian khunsa mushkil, kemudian kanak-kanak perempuan, kemudian kaum perempuan.


8. Apabila jemaah terdiri daripada wanita sahaja.

Apabila imam dan makmum terdiri daripada wanita sahaja maka imam akan berdiri ditengah diantara jemaah wanita yang lain.

Monday, June 25, 2012

DOA SOLAT ISTIKHARAH

Doa Istikharah bererti:
Memohon semoga Allah menunjukkan keputusan yang terbaik untuk dilaksanakan.






   

Kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: "Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini:



"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon 
ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak  berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku,  kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".

(sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).


Tidak akan menyesal sesiapa yang bertanyakan penciptanya dan berbincang dengan orang-orang mukmin kemudian berhati-hati dalam menangani persoalannya.
Allah telah berfirman:

"Dan berbincanglah dengan mereka (para sahabat) dalam urusan itu (peperangan, ekonomi, politik dll). Apabila kamu telah membulatkan tekad, bertawakallah kepada Allah".




STRATEGI BERAMAL SALMAN AL-FARISI

Di satu waktu ketika Rasulullah saw bersama para sahabatnya, lalu baginda mengacukan soalan kepada mereka semua yang hadir,

"Siapakah di antara kalian yang melakukan puasa yang terus menerus dan tidak henti-henti?’
"Saya wahai Rasulullah saw " Jawab Salman Al-Farisi yang hadir di tengah-tengah khalayak ramai.
"Siapa yang sentiasa menghidupkan malamnua?" tanya Nabi saw lagi.
"Saya wahai junjunganku Rasulullah saw," Jawab Salman Al-Farisi lagi.
"Siapa yang mengkhatamkan Al-Quran setiap hari?" Soal Rasulullah lagi.
"Saya juga mengkhatamkannya ya Rasulullah saw," kata Salman Al-Farisi.

Melihat keadaan tersebut, sebahagian para sahabat membangkang. Kata mereka,
"Ya Rasulullah saw, Salman adalah orang Parsi. Dia hanya mahu membanggakan sukunya sahaja terhadap kami. Dia tidak melakukan puasa terus menerus kerana hampir setiap hari kulihat dia makan seperti biasa. Dia tidak bangun sepanjang malam kerana kulihat dia tidur hampir sepanjang malam. Dia juga tidak mengkhatamkan Al-Quran setiap hari kerana kulihat dia lebih banyak berdiam daripada membaca Al-Quran.
"Wahai Polan, janganlah engkau bersikap agak meremehkan orang seperti Lukman Al-Hakim ini. Tanyalah kepadanya, kelak nanti engkau akan mendapat jawapannya " Nasihat Rasulullah  saw
"Wahai Salman, bagaimana engkau mengaku melakukan puasa sunat padahal hampir setiap hari aku melihatmu makan?" tanyanya
"Benar apa yang kamu duga. Aku hanya berpuasa sunat selama tiga hari sahaja pada setiap bulan . Tapi Allah berfilman
"Siapa yang melakukan perbuatan baik maka baginya sepuluh kali ganda seumpamanya ." 
Surah Al-Anam – 160
Kemudian aku akan berpuasa pada bukan Syahban yang kulanjutkan terus sampai bulan Ramadan Semua itu dikatakan sebagai puasa sunat terus menerus.

"Lalu bagaimana dengan bangun sepanjang malam yang engkau katakan itu padahal engkau lebih banyak tidur berbanding bangun pada akhir malam"?" pertanyaan di acukan lagi kepada Salman Al Farisi.
"Tidak benar apa yang engkau duga. Namun aku mendengar kekasihku, Rasulullah saw  bersabda :
"Sesiapa yang tidur dalam keadaan bersuci, seakan-akan dia menghidupkan malam tersebut. Dan aku sentiasa tidur malam dalam keadaan bersuci."

"Kemudian bagaimana dengan mengkhatamkan Al-Quran padahal hampir setiap hari engkau lebih banyak berdiam,"
Aku dengar kekasihku, Rasulullah saw berkata kepada Ali ra.
"Ya Abal Hassan, kedudukanmu di tengah umatku seperti kedudukan Qul Huallahu Ahad di dalam Al-Quran. Sesiapa yang membacanya sekali, maka dia telah membaca sepertiga Al-Quran; sesiapa yang membacanya dua kali, dia telah membaca dua pertiga Al-Quran dan sesiapa yang membacanya 3 kali, maka dia telah mengkhatamkan Al-Quran.
Sesiapa yang mencintaimu Ya Abal Hassan, sekadar lidahnya, maka dia telah memperoleh sepertiga dari iman, sesiapa yang mencintaimu dengan lisan dan hatinya, maka dia telah memperolehi dua pertiga daripada imam. Sesiapa yang mencintaimu dengan lisan dan hatinya, lalu membantu (perjuangannya) dengan tangannya, maka sempurnalah imamnya. Demi yang mengutusku dengan kebenaran,  apabila penghuni bumi ini mencintaimu seperti penghuni langit yang mencintaimu, maka tidak satu pun dari mereka yang akan diseksa dengan api neraka. Dan aku membaca Qul Huallahu Ahad setiap hari sebanyak tiga kali. "


wallahualam

Sunday, June 24, 2012

TEMPAT YANG DIBOLEHKAN UNTUK MENGUMPAT

Firman Allah dalam ayat 12 surah al-Hujurat :

…..وَلاَ يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ……..

Maksudnya : …dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya….

قال الرسول e : إِيَّاكُمْ وَالغِيْبَةَ فَإِن َّالغِيْبَةَ أَشَدُّ مِنَ الزِّنَا. قِيْلَ لَهُ كَيْفَ؟ قَالَ : إِنَّ الرَّجُلَ قَدْ يَزْنِي وَ يَتُوْبُ فَيَتُوْبُ اللهُ عَلَيْهِ وَإِنَّ صَاحِبَ الغِيْبَةِ لاَ يُغْفَرُ لَهُ حَتَّى يَغْفِرَ لَهُ صَاحِبُهُ

Maksudnya: Jauhkan oleh kamu akan dirimu dan takut oleh kamu akan mengumpat kerana bahawasanya mengumpat itu lebih bersangatan daripada zina. Dikatakan bagi Rasulullah s.a.w : Betapa? Ertinya, kerana apa mengumpat itu lebih besar daripada zina?. Bersabda baginda : Bahawasanya seorang lelaki itu terkadang dia berzina dan lantas bertaubat maka Allah menerima akan taubatnya. Dan bahawasanya orang yang mengumpat itu tiada diampuni baginya sehingga memaaf baginya oleh orang yang diumpatnya. ( Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya dan Abu Asy-Syeikh dari Jabir dan Abi Sa’id )


Hukum mengumpat itu haram dengan ijma’ melainkan pada 6 tempat yang diharuskan mengumpat padanya iaitu :

1.Orang yang mengadu pada penguasa tentang kezaliman seseorang dengan menyebut nama orang zalim itu dan perbuatannya bertujuan untuk menghentikan kezalimannya.

2.Orang meminta tolong bagi menghilang maksiat pada sesuatu tempat kepada yang berkemampuan dengan menyebut nama pelaku maksiat dan kesalahannya bertujuan untuk menghentikan maksiat itu.

3.Orang yang meminta fatwa daripada yang berkelayakan tentang sesuatu masalah yang terpaksa menyebut nama dan kelakuan seperti seorang isteri bertanya tentang hal suaminya dan sikapnya yang buruk.

4.Orang yang menakutkan orang Islam lain tentang kejahatan seseorang supaya terselamat daripada keburukan orang itu seperti menyebut kelakuan jahat seseorang perempuan yang diingini untuk dikahwini bila ditanya agar bakal suaminya tidak tertipu dan selama.

5.Menyebut nama seseorang yang masyhur dengan nama buruk seperti Amin Tempang dan sebagainya.

6.Menyebut nama orang yang menzahirkan kejahatannya bertujuan supaya orang lain berhati-hati dengannya dan juga agar dia menghentikan kesalahannya itu.

CABARAN-CABARAN DALAM BERDAKWAH

Terdapat dua perkara utama yang menjadi cabaran dalaman kepada gerakan dakwah di Malaysia kini iaitu personaliti dan sikap orang Islam sendiri. Sebahagian umat Islam kini, mereka kelihatan sukar mempertahankan personaliti unggul sebagai muslim sejati seperti yang diharapkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Personaliti negatif yang dipamerkan tersebut menyukarkan usaha untuk mempromosi atau memasarkan Islam pada pihak lain, terutama yang bukan Islam.

Selain itu juga kesukaran umat Islam untuk melahirkan golongan pendakwah Muslim yang bersifat mutafaqqih fi al-din hanya secara ikhlas dan amanah, iaitu golongan yang mendalami ilmu keagamaan Islam secara menyeluruh dan betul. Personaliti Muslim seperti ini agak sukar dibentuk kerana tabi’I manusia yang sentiasa terpengaruh dengan tuntutan keduniaan yang sememangnya kelihatan sangat mencabar.

Segolongan individu yang terlibat dengan kerja dakwah adalah tidak professional. Mereka mendakwa menjalankan kerja dakwah tetapi tidak mempunyai bahan dakwah yang mencukupi dan tidak relevan dengan keperluan golongan sasaran dakwah. Ramai pendakwah yang hanya boleh menyampaikan apa yang mereka miliki, bukan apa yang sebenarnya diperlukan oleh masyarakat. Aspek perancangan dan penilaian tentang aktiviti dakwah tidak sangat diberi perhatian.


Dakwah kini lebih bersifat tabligh dan retorik dengan hanya difahami sebagai satu usaha menyampaikan pesanan tentang Islam kepada manusia. Isi dan bahan dakwah yang disampaikan kini lebih bersifat informatif. Disamping itu, segolongan para pendakwah juga tidak memiliki pengetahuan dan kemahiran tentang metodologi yang jelas bagaimana dakwah itu harus dijalankan.


Para pendakwah pada masa kini kurang memiliki asas strategi yang baik, tidak memiliki ‘common interest’, kurang perencanaan dan kurang mempunyai wawasan yang jelas apabila menjalankan aktiviti dakwah. Para pendakwah juga tidak memiliki kemahiran berdakwah yang mencukupi seperti tidak mempunyai pengetahuan asas yang mencukupi tentang ilmu berdakwah. Akibatnya golongan tersebut tidak mampu memberikan landasan konseptual, kontekstual dan kordinasi yang kukuh dalam kerja-kerja dakwah.


Sikap prejudis masyarakat bukan Islam terhadap umat Islam telah menyukarkan gerakan dakwah. Tuduhan-tuduhan terhadap Islam selalu dilemparkan oleh golongan bukan Islam, seperti Islam itu mundur, zalim, tidak sesuai dengan masa dan tamadun dan Islam tidak mampu untuk membina kekuatan manusia masa kini.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku terutamanya di negara-negara Islam digambarkan sebagai lambang keganasan kumpulan-kumpulan orang Islam. Dengan adanya prejudis seperti ini, bukan setakat menghilangkan tarikan orang bukan Islam untuk mengenali Islam, malah menimbulkan kebencian mereka terhadap Islam dan penganutnya. Akibatnya, usaha-usaha dakwah yang diatur untuk masyarakat bukan Islam agak sukar untuk mendapat perhatian mereka.




sumber : http://jsyahira.blogspot.com

Saturday, June 9, 2012

TANDA KEMATIAN YANG MULIA

Tanda kematian yang mulia



1.  Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Hakim)

2.  Ketika wafat dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: “Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)

3.  Wafat pada hari atau malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

4.  Mati syahid di dalam medan perang.

5.  Mati dalam peperangan fisabilillah. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian? Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah. Baginda bersabda: “Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit.” Kalangan sahabat kembali bertanya: “Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid.”(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

6.  Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai berikut: Rasulullah bersabda, maksudnya: “Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim.” (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)

7.  Mati kerana tenggelam.

8.  Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah. Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

9.  Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.

10.  Mati terbakar.

11.  Mati kerana penyakit busung perut. Mengenai kedua perkara ini banyak sekali riwayat dan yang paling masyhur adalah dari Jabir bin Atik secara marfu’: “Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid.” (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

12.  Mati kerana penyakit Tubercolosis (TBC). Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid.” (Hadis riwayat Thabrani)

13.  Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

14.  Mati dalam membela agama dan jiwa. “Sesiapa mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati dalam membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati dalam membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid.”

15.  Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur).”

16.  Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh. Semoga kematian kita dalam husnul khatiimah

wallahua'lam..

sumber : melurhasanah

Friday, June 8, 2012

7 YANG DILINDUNGI ALLAH



"Terdapat 7 golongan yang akan mendapat lindungan arasyNya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripadaNya.

1: Pemimpin yang adil;

2: Pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT;

3: seseorang yang hatinya terpaut pada masjid;

4: 2 lelaki yang berkasih sayang, bertemu dan berpisah kerana Allah SWT;

5: lelaki yang digoda oleh perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan 
Aku Takutkan Allah;

6: seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya;

7:dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.”

(Riwayat Muslim)


Okey, mari kita hurai sikit..

Satu: Pemimpin atau Imam yang adil.
Ertinya, setiap pemimpin bertanggungjawab atas jagaannya. Ia akan dipersoalkan kembali di akhirat kelak. Perdana Menteri Malaysia tetap bertanggungjawab ke atas apa yang terjadi kepada rakyatnya. Senang susah, adil atau zalim , zina buang bayi, segala macam maksiat, dasar pendidikan tempang dan lain-lain. 

Oh, seronok sangatlah, kepada pemimpin-pemimpin yang adil, melaksanakan amanah dan hukum Allah SWT ke atas tadbirannya. Ia dapat hadiah ' Perlindungan ArashNya di Akhirat.' Begitu juga pemimpin-pemimpin lain, termasuk suami memimpin isteri atau isteri-isteri, isteri memimpin anak-anak, pimpinan yang diamanahkan tugas kepada mereka. Dan sebagainya.


Dua: Pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Allah.
Naungan Ilahi ini juga dijanjikan kepada lelaki dan perempuan yang sentiasa hidup atau membesar dalam ibadah kepada Allah. Bukan nanti tua baru nak ibadat. Ibadat dalam ertikata yang luas, ibadat khas dan ibadat umum. Sentiasa menyedari bahawa Allah melihat segala perbuatannya. Di mana segalanya di bawah kawalan dan naungan Ilahi.


Tiga: Lelaki yang hatinya sentiasa rindukan (teringat-ingatkan) rumah Allah.
Begitu jua bagi lelaki yang hatinya sentiasa rindukan rumah Allah. Tertunggu-tunggu setiap masa untuk beribadah di dalamnya. Baik untuk sembahyang wajib lima waktu setiap hari dan untuk ibadah lain.


Empat: Dua orang lelaki yang cinta mencintai kerana Allah bertemu dan berpisah kerana Allah. Dalam satu hadis Rasulullah bersabda..

“Allah telah mengutuskan malaikat kepada seorang lelaki semasa dalam perjalanan untuk menziarahi saudaranya kerana Allah”.
Malaikat bertanya: “Nak kemana?”
Dijawab: “Aku mahu menziarah saudara ku… … ..”
Tanya malaikat lagi: Untuk apa?”
Lelaki itu menjawab: Tiada apa-apa tujuan.”
Ditanya lagi: “Apa hubungan dengan kamu?”
Lalu dijawab oleh lelaki itu:” Tiada apa-apa hubungan.”
Ditanya lagi: ” Apa budinya kepada kamu?”
Dijawab:”Tiada apa-apa pun.” Ditanya lagi:”
Apa tujuannya?” Lelaki itu menjawab:
"Aku mencintainya kerana Allah.” Berkata malaikat: sesungguhnya Allah telah mengutusku kepada mu untuk memberitahu bahawa kerana kecintaanmu kepadanya maka ALLAH telah mengizinkan kamu memasuki syurgaNYA.” (Riwayat Muslim)


Perasaan sayang dan kasih, atau cinta terhadap seseorang bukan kerana ada tujuan lain. Bukan untuk memikat anak gadisnya atau hartanya, sebaliknya hanya mengharap keredhaan Ilahi. Hanya kerana Allah hubungan ini dieratkan.


Lima: Lelaki apabila mengingati Allah bersendirian menitis airmatanya.
Hadirnya perasaan takut kepada Allah walaupun bersendirian sehingga menitis airmatanya. Ianya bukan saja-saja tetapi hadir dari hati yang menginsafi kebesaran Allah SWT.


Enam: Seorang lelaki yang dirangsang atau digoda oleh seorang perempuan berdarjat lagi cantik untuk berzina, lalu ia berkata: “Tidak! Aku takutkan Allah” (inni akhofullah)
Sesiapa yang takut untuk berbuat kesalahan, takut kepada Allah dan azab api neraka akan sentiasa mendapat perlindungan dariNYA.


Tujuh: Lelaki yang bersedekah dan tidak pula dimegah-megahkannya.
Pemberian yang mengharapkan balasan dari Ilahi tidak akan diperbesar-besarkan. sebaliknya akan dilakukan secara tersembunyi. Sehingga digambarkan seolah-olah tangan yang kiri tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanan. Lupakan kebaikan dan pemberian kita, sebaliknya banyak mengingatkan kesilapan dan kesalah diri kita terhadap Allah dan orang lain.

Kesimpulan:

Rebutlah peluang ini, jadilah orang yang beruntung di akhirat. Tiada yang mustahil untuk kita lakukan. Jadilah hambaNYa yang ikhlas dan redha atas segala yang berlaku. Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang yang mendapat perlindunganNYA selalu. 



sumber : islammylife

Sunday, June 3, 2012

KISAH NABI MUHAMMAD DAN YAHUDI BUTA

Assalamualaikum..
pagi Ahad yang bagus ini suka untuk saya berkongsi satu kisah, kisah kekasih agung Rasulullah s.a.w yang begitu menyentuh perasaan. sungguh terasa sebak mengenangkan akhlak mulia baginda. semoga menjadi pengajaran untuk kita semua.


Rasulullah SAW setiap hari akan pergi ke rumah seorang Yahudi yang tua, buta dan cacat untuk menyuapkan makanan kepada Yahudi ini. Walau bagaimanapun, oleh kerana baginda tidak memperkenalkan dirinya sebagai Rasulullah SAW, Yahudi ini tidak mengetahui akan baginda. Setiap hari apabila Rasulullah SAW menyuapkan makanan kepada Yahudi ini, pasti Yahudi ini akan berkata " Kau jangan ikut ajaran Muhammad Bin Abdullah itu, dia seorang penipu dan kata-katanya tidak boleh langsung dipercayai"..

Rasulullah SAW tidak berkata apa-apa setiap kali Yahudi ini berkata begitu dan baginda tetap mengunjungi Yahudi ini setiap hari walaupun dicerca dan dihina secara berhadapan oleh Yahudi ini..( cuba bayangkan kalau diri kita ini dihina secara berhadapan..sudah pasti kemarahan kita membuak-buak kan)

Setelah kewafatan baginda Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar As- Siddiq R.A pun dilantik menjadi khalifah. Oleh kerana Saidina Abu Bakar R.A ini adalah anak didik Rasulullah SAW, cara pemerintahannya juga mengikut model Rasulullah SAW. Semua perkara yang dianjurkan oleh baginda SAW pasti Saidina Abu Bakar R.A mengikutnya. Suatu hari, Saidina Abu Bakar bertemu Saiditina Aisyah R.A isteri Rasulullah SAW. Beliau bertanya kepada Saiditina Aisyah R.A 



" Wahai Aisyah R.A, adakah lagi perkara yang baginda SAW berbuat tetapi aku tidak melakukannya lagi. Sungguh kau pasti lebih mengetahui apa yang Kekasih Allah SWT ini lakukan??
Saiditina Aisyah R.A pun menjawab



 " Ada lagi satu, wahai Abu Bakar R.A.. Baginda setiap hari akan menyuapkan makanan kepada seorang Yahudi yang tua, buta dan cacat di hujung negeri ini. Pergilah mencarinya dan buatlah apa yang Rasulullah SAW berbuat". 


Maka, Abu Bakar R.A pun mencari Yahudi itu dan beliau menemuinya. Seperti biasa, beliau pun menyuapkan makanan kepada Yahudi ini sambil Yahudi ini pasti akan berkata 


" Kau jangan ikut ajaran Muhammad Bin Abdullah itu, dia seorang penipu dan kata-katanya tidak boleh langsung dipercayai"..

Lama- kelamaan Yahudi ini perasan dan tersedar. Yahudi ini bertanya 



Kau bukan lelaki yang selalu menyuapkan makanan kepada ku. Abu Bakar R.A menjawab " Akulah lelaki itu, wahai sdra. Akulah lelaki yang selama ini menyuapkan makanan kepada kamu. 


Yahudi itu menjawab " Tidak, kau berbohong. Lelaki yang selalu menyuapkan makanan kepadaku itu akan hanya menyuapkan makanan setelah aku menelan kunyahan aku. Kau tidak, aku belum telan kunyahan lagi tetapi kau telah sumbatkan aku dengan makanan lain. Cara kau berbeza.. Dimana lelaki itu???
Dengan perasaan sebak Abu Bakar R.A menjawab " Lelaki itu telah tiada di dunia ini., wahai sdra. Lelaki yang kau kata " jangan ikut ajaran Muhammad Bin Abdullah itu, dia seorang penipu dan kata-katanya tidak boleh langsung dipercayai" sebenarnya adalah Rasulullah SAW dan lelaki inilah yang menyuapkan sdra dengan makanan setiap hari..
Yahudi itu terkejut serta sukar untuk mempercayainya. Lalu Yahudi ini pun menangis sambil berkata

 " Sungguh mulia hati lelaki ini, walau aku mengutuknya setiap hari dia tetap datang untuk memberi makanan kepada aku yang tua buta ini".